BERITA UTAMANASIONAL

Muhyiddin, Mat Sabu, Guan Eng dilantik menteri

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 12 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan tiga daripada 10 menteri kabinet bagi mengetuai kementerian masing-masing.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) itu berkata, ketiga menteri itu ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan).

“Kita membuat keputusan memaklumkan tiga pemimpin utama parti di dalam PAKATAN bagi mengetuai tiga kementerian utama terlebih dahulu.

“Manakala tujuh yang lain akan diumumkan kemudian,” katanya dalam sidang media di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata, nama tujuh menteri bagi mengetuai kementerian utama lain tidak diumumkan kerana perbincangan susulan akan diadakan dengan semua parti gabungan.

“Kita akan mengumkannya selepas keputusan dicapai,” katanya.

Selain Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, PAKATAN turut menetapkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional.


Pengarang :