NASIONAL

Najib disoal siasat SPRM kali kedua pagi ini

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikehendaki hadir untuk kali kedua di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, 10 pagi ini bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, perlu dirakam keterangan berhubung perkara itu, lapor Bernama

Sebelum ini, Najib disoal siasat SPRM hampir lima jam bagi memberi keterangan mengenai isu berkenaan, pada 22 Mei lalu.

Beliau yang tiba sekitar 10 pagi di ibu pejabat SPRM itu bagaimanapun keluar kira-kira jam 3.15 petang

Ketua Pesuruhjaya baru SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memaklumkan bekas perdana menteri itu tidak akan ditahan dan pihaknya akan merekodkan terlebih dahulu kenyataan beliau sebelum sebarang tindakan diambil.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan Isnin lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.


Pengarang :