NASIONAL

Najib sambung beri keterangan kepada SPRM Khamis ini

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MAC: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menyambung proses memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan SRC International Khamis ini.

Bercakap kepada media di luar Ibu Pejabat SPRM beliau berkata, kenyataan hari ini merupakan lanjutan pada 2015 atas isu sama.

“Saya nak beritahu bahawa saya telah memberi kenyataan atas kepada SPRM pada 2015 atas isu SRC (International).

“Kenyataan hari ini merupakan lanjutan pada kenyataan tersebut dengan lebih terperinci, dengan pengesahan dokumen dan beberapa perincian yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau memberikan kenyataan kepada SPRM bermula jam 10 pagi sehingga 2.15 petang dengan setengah jam tempoh berehat.

Dalam sidang media itu beliau turut mengucapkan terima kasih ke atas pasukan yang mengambil keterangannya kerana bertindak secara profesional selain sebahagian besar kenyataannya sudah selesai diberikan.

Najib meninggalkan perkarangan Bangunan SPRM sekitar jam 3.15 petang sambil diiringi pegawai keselamatan.


Pengarang :