Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib ‘tak tidur lena’ fikir tsunami Melayu – Muhyiddin

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Calon Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kini ‘tidak tidur malam’ kerana bimbang kebangkitan rakyat khususnya orang Melayu yang kian menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN).

Beliau berkata, orang Melayu sudah berubah dan tidak lagi dimomokkan dengan sentimen perkauman yang sering dimainkan Barisan Nasional (BN) demi menagih undi.

“Mereka takut dengan bayangan Tun Mahathir sehingga memadam wajah Tun kerana mereka melakukan kesalahan dan tidak bertanggungjawab sehingga rakyat tertindas,” katanya pada Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat.

Menurutnya, kegagalan gabungan Pembangkang yang ketika itu Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-13 walaupun mendapat undi popular 52 peratus disebabkan sentimen kononnya ‘orang Melayu akan dikuasai DAP dan Lim Kit Siang’.

“Orang Melayu sudah berubah sikap menentang BN dan menyokong PAKATAN.

“Pakatan rakyat tidak menang kerana orang Melayu masih menyokong UMNO. Kini satu anjakan telah berlaku dan orang Melayu akan berubah,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau turut melaungkan keyakinan beberapa kubu kuat UMNO di Johor akan tumbang.

“Tidak mungkin tembok yang kuat akan runtuh. Sebahagian besar orang Melayu di Johor dan Malaysia sudah mengetahui hak mereka,” katanya.

Sementara itu, calon KEADILAN Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyeru supaya mengekalkan Kerajaan PAKATAN di Selangor bagi meneruskan agenda Peduli Rakyat.

Nurul Izzah berkata demikian menerusi lintas langsung daripada Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Kita mahu kekal Kerajaan Selangor untuk teruskan agenda peduli,” katanya.


Pengarang :