NASIONAL

Najib tiba di ibu pejabat SPRM

PUTRAJAYA 22 MEI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Najib yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire itu tiba jam 9.42 pagi dengan kawalan ketat anggota polis, lapor BERNAMA.

Difahamkan hanya ahli Parlimen Pekan itu akan masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Seawal jam 8.00 pagi, puluhan media tempatan dan antarabangsa berada di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan kes yang melibatkan Najib.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dijangka mengadakan sidang media pada jam 11.30 pagi ini.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta beliau hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.


Pengarang :