SELANGOR

Najwan sedia terima cadangan di laman sosial

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Najwan Halimi membuka ruang kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik untuk menghubunginya di laman sosial jika terdapat sebarang isu mahupun cadangan.

Ahli Dewan Negeri itu berkata, inisiatif berkenaan adalah alternatif lain selain ke Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik, di Seksyen 9, di sini.

“Selain di Facebook dan Twitter, saya juga boleh dicapai menerusi laman Instagram di instagram.com/NajwanHalimi,” tulisnya di Facebook.

Beliau juga bersedia menerima aduan mahupun cadangan yang dikemukan masyarakat apabila salah seorang netizen menyuarakan hasrat itu di ruangan komen statusnya.

Perkara itu turut mendapat sambutan baik daripada netizen lain.

Pada masa sama, Najwan berkata, pihaknya masih menjalankan operasi menggunakan PKM pemangku terdahulu, iaitu Dr Yaakob Sapari.

“Selepas Aidilfitri kita akan berpindah. Antara kawasan yang dirancang setakat ini adalah Seksyen 7, Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.


Pengarang :