SELANGOR

“Nak tahan saya pun tak apa, asalkan pengundi dapat minuman”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 9 MEI: Suasana proses pengundian di Masjid Merbau Sempak sedikit tegang berikutan berlakunya beberapa insiden yang mengecewakan calon ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Ketegangan bermula apabila tindakan SPR meletakkan sehingga 750 pengundi dalam saluran dua dan tiga menyebabkan pengundi terpaksa beratur lama dan sesetengah mereka meninggalkan tempat pengundian tanpa mengundi.

Mohd Khairuddin yang bersimpati kepada pengundi yang berpanas mengambil inisiatif mengedarkan minuman mineral kepada pengundi.

Bagaimanapun, kenderaan pelbagai guna yang membawa minuman itu tidak dibenarkan masuk sekaligus menimbulkan perbalahan antara Mohd Khairuddin dan anggota keselematan.

“Saya bukan bawa dadah atau kertas undi tetapi minuman untuk pengundi di sini di mana antara mereka ada yang tua, OKU dan lain-lain yang dahaga.

“Patutnya adalah perasaan kemanusiaan sikit kepada rakyat. Saya tidak peduli, kalau nak tahan, tahanlah saya,” kata Mohd Khairuddin kepada anggota keselamatan terbabit.

Bagaimanapun ketegangan di hadapan pagar masuk utama masjid itu berjaya diredakan apabila muncul seorang lelaki dipercayai anggota polis berpakaian preman menyabarkan Mohd Khairuddin.

Botol-botol minuman itu kemudianya dibawa oleh beberapa lelaki untuk diagihkan kepada pengundi.


Pengarang :