NASIONAL

Netizen terharu lihat suasana bahagia keluarga Anwar Ibrahim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MEI: Netizen di laman media sosial terharu apabila melihat suasana bahagia Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama keluarga semalam.

Beberapa foto Anwar berbuka puasa dan menunaikan solat jemaah bersama keluarga dikongsi anaknya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha di akaun instagram masing-masing.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, semalam adalah saat paling membahagiakan apabila kesemua ahli keluarga berkumpul serta dapat berbuka puasa bersama bapa mereka.

“Keluarga amat penting, biarpun berkumpul dikelilingi ‘penjara’ yang disebut rumah,” tulisnya.

Perkongsian gambar di media sosial itu menerima reaksi daripada netizen termasuk selebriti tempatan iaitu Daphne Iking dan pelawak terkenal, Jep Sepah.

Daphne dalam ruangan komennya berkata, suasana berbuka puasa itu sangat meriah dan masing-masing jelas terpancar rasa bahagia.

“Selamat menunaikan ibadah puasa buat YB (Nurul Izzah),” tulis Daphne.

Sementara itu Jep Sepah pula mendoakan semoga keluarga Anwar Ibrahim sentiasa dibawah redup rahmat ALLAH SWT.

Salah seorang netizen berkata, beliau masih mengingati peristiwa pada tahun 1998 dan pada masa itu masih bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

“Pada waktu itu saya hanya mengharapkan keajaiban akan membantu Anwar dan keluarga, 20 tahun bukan masa yang singkat, semoga keluarga ini kekal bahagia,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :