NASIONAL

Nik Omar ajak rakyat undi PAKATAN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Dalam usaha memartabatkan negara dan membuat pilihan terbaik, calon DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyeru rakyat terus menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nik Omar berkata, pilihan raya lima tahun sekali itu adalah masa terbaik melakukan perubahan memilih kerajaan yang membawa kebajikan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.

Katanya, ketika ini parti gabungan itu adalah terbaik untuk mengambil alih pentadbiran Malaysia.

“Secara peribadi, kita harus berusaha menyelamatkan negara dan pastikan pengurusan berada pada tahap terbaik yang bakal memberi manfaat kepada semua rakyat.

“Manifesto ditawarkan juga bukan untuk yang beragama Islam tetapi semua rakyat, justeru rakyat perlu memberi keyakinan sepenuhnya, bertekad dan bertawakal untuk kita pangkah PAKATAN pada 9 Mei ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menafikan mengajak masyarakat melawan Islam seperti yang didakwa, sebaliknya mengajak semua berpegang kepada al-Quran.

“Saya juga tidak mengajak untuk mengutuk orang atau parti lain tetapi kita bersama pangkah PAKATAN demi sebuah kebajikan seperti yang dipesan Allahyarham ayah saya ketika beliau berceramah.

“Sebagaimana saya mendoakan kejayaan adinda dan saudara saya, saya juga mendoakan kemenangan untuk calon PAKATAN,” katanya.


Pengarang :