BERITA UTAMASELANGOR

Optimis Selangor kekal di bawah PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali optimis Selangor kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) selepas melihat sentimen sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi.

Beliau berkata, kehadiran penduduk di program yang dianjurkan PAKATAN menunjukkan kemaraan rakyat walaupun di kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Semalam di Teluk Gong, ada lima buah kampung. Kita kalah hampir 2,000 di kawasan itu, minta kita datang kubu kuat BN. Tapi apa yang saya lihat, bukan lagi kubu tapi sudah jadi ‘kubur’ BN.

“Ramai rakyat hadir dari pelbagai lapisan. Saya juga terkejut bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin datang bersama isteri dan anak-anak dan menyokong PAKATAN.

“Jadi, kalau Tun Daim datang sokong. Ini Ketua Bahagian Umno di sini tunggu apa lagi? Tunggu dedak?,” soalnya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin mengajak rakyat untuk keluar mengundi pada 9 Mei ini.

“Saya yakin dan optimis semua rakyat akan mengundi PAKATAN. Kalau peratus keluar mengundi kurang, BN akan melakukan penipuan.

“Kalau tak tipu bukan Umno. Jadi, saya mengajak semua rakyat keluar mengundi 9 Mei ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :