SELANGOR

Orang muda tak sangka Smart Selangor menarik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 MEI: ‘Kami tidak sangka Smart Selangor menarik, ini kerana ia menyediakan banyak kemudahan’.

Itulah luahan tiga anak muda yang berjaya memenangi Pertandingan Shorties Smart Selangor 2018, semalam.

Farhan Razi, 21 graduan KRU College berkata, dia pada awalnya hanya menyertai pertandingan itu secara suka-suka bagi membantu rakannya, Mohd Zulfahmi Zainuddin, 21.

“Tema pertandingan ialah Smart Selangor, jadi dari situ kami kaji konsep Smart Selangor disediakan khas oleh Kerajaan Negeri.

“Akhirnya kami tidak sangka, memang banyak kemudahan disediakan dan antara yang paling bermanfaat buat golongan muda seperti kami ialah internet percuma di tempat awam, tidak ketinggalan bas percuma dan tuisyen percuma.

“Kemudahan sebegini sememangnya memudahkan golongan seperti kami sekali gus memudahkan tugas harian,” katanya kepada SelangorKini.

Farhan, Zulfahmi dan seorang lagi rakan, Muhammad Roszameer Yaacob dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Shorties Smart Selangor 2018.

Zulfahmi berkata, antara kemudahan yang disukainya melalui Smart Selangor ialah sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Apabila ada CCTV, penduduk lebih berasa selamat dan sudah tentu kes jenayah akan berkurangan.

“Rasanya di Selangor sahaja kemudahan sebegini disediakan dengan begitu lengkap khas buat penduduknya,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, fokus utama Smart Selangor adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Antara elemen diberi penekanan adalah sistem pengangkutan, trafik, keselamatan, pembanterasan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, pengurusan sisa pepejal, sumber air dan tenaga.


Pengarang :