SELANGOR

Orang Paya Jaras mahu Khairuddin kekal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 7 MEI: Kesungguhan menyelesaikan masalah, mesra rakyat, berkarisma dan merendah diri antara sikap Mohd Khairuddin Othman yang menyebabkan beliau disayangi masyarakat setempat.

Pesara kerajaan, Mohd Salleh Yaakob tidak hairan apabila kebanyakan penduduk di situ mahu calon DUN Paya Jaras itu dikekalkan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau apa kita bincang dengan dia, pandangan kita itu diambil kira, misalnya soal surau dan tanah. Bila dia ambil berat kerja dia, (makna) dia berjayalah.

“Pergaulan dengan masyarakat pula santai, mana sahaja jumpa boleh berbincang, minta pandangan, bergurau dan dia cakap sekarang ini nak perjuangkan supaya Kampung Indah B dapat Ketua Kampung,” katanya.

Guru Besar Sekolah Rendah Agama Merbau Sempak, Maaripah Jamil juga berharap Mohd Khairuddin dikekalkan kerana kemampuan pemimpin itu membawa pembangunan untuk masyarakat.

“Setiap kali jemput ke majlis kami, sedaya upaya dia hadir supaya dapat bersama penduduk, ibu bapa dan guru. Personaliti diri dia memang saya sangat puji.

“Dia memastikan pelajar dapat keselesaan dan sebagainya. Setiap kali kami memohon bantuan kewangan atau sokongan, dia akan membantu walaupun sedikit,” katanya.

Sementara itu, pemilik gerai Man Burger Lava, Muhammad Sulaiman berkata, Mohd Khairuddin pantas bertindak apabila mendapat aduan penduduk.

“Masa mula-mula jumpa, kami adukan masalah jalan. Esoknya terus ada orang datang mulakan kerja turap jalan berlubang.

“Saya tengok dia ini berjiwa rakyat dan kita senang berjumpa dengannya,” katanya.

Pengurus Bengkel Wahab Auto, Rashidi Wahab pula berkata, wakil rakyat itu juga berjaya membangunkan Stadium Paya Jaras untuk kegunaan anak muda.


Pengarang :