NASIONAL

‘Otai Umno’ pun sokong PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PERAK, 4 MEI: Rakyat Malaysia perlu sedar dan bangkit berdepan realiti sebenar bahawa Barisan Nasional (BN) bukan lagi parti terbaik yang mampu menerajui kepimpinan negara.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dibuktikan menerusi kenyataan terbuka bekas pimpinan parti ketuanan Melayu itu yang kini bersama PAKATAN menentang kezaliman.

“Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah bersama kita menentang BN, begitu juga bekas Menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz juga Tan Sri Rais Yatim yang secara jelas mengajak rakyat supaya tidak lagi menyokong parti itu.

“Terbaru, Tun Daim Zainuddin pula bersama kita menyokong PAKATAN. Tetapi kenapa tidak rakyat Malaysia?” katanya ketika berucap pada Program Minum Petang bersama Masyarakat di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak, semalam.

Awal tahun lalu menyaksikan perubahan senario politik negara apabila pimpinan utama BN mengumumkan pengunduran daripada parti itu.

Tindakan itu didakwa berkait kegagalan Najib mengurus pentadbiran negara selain skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan Presiden Umno itu.

Pengunduran pimpinan utama parti itu menyaksikan gabungan pembangkang baru yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah dibentuk bagi menawan Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Pengarang :