NASIONAL

PAKATAN akan bawa perubahan kepada pentadbiran Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia seperti terkandung dalam Al-Quran dan hadis sahih.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tekanan itu akan diberi oleh HARAPAN yang kini berjaya membentuk kerajaan, selepas pilihan raya umum lalu.

“Al-Quran adalah panduan utama bagi umat Islam. Panduan yang tidak difahami pula tidak mungkin menjadikan kita umat Islam yang berjaya.

“Umat Islam bukan sahaja akan memanfaatkan bulan puasa dengan melakukan ibadah seperti terawih dan pengajian Al-Quran tetapi perlu berusaha untuk memahami isi bukan sahaja menghafal ayatnya.

“Sementara kita menghafal, maka perlu faham ajaran sebenar agama Islam,” katanya dalam perutusan khas sempena bulan Ramadan menerusi catatan blognya.

Dalam perutusan itu juga, Tun Dr Mahathir menzahirkan rasa syukur kerana keputusan pilihan raya tidak membawa kepada kekacauan seperti di sesetengah negara lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan.

“Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.

” Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan serta ketenteraman ini,” katanya.


Pengarang :