NASIONAL

PAKATAN ikrar bela nasib semua kaum & agama

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 6 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) berikrar akan membela nasib semua kaum dan agama di seluruh negara sekiranya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masyarakat tidak perlu gusar memilih gabungan itu walaupun ditekan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mahu rakyat melihat contoh negeri ditadbir PAKATAN, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

“Bagi pihak PAKATAN, saya ingin menyatakan bahawa PAKATAN akan membela nasib semua kaum dan agama di seluruh negara.

“Lihat contoh apabila PAKATAN mentadbir Selangor, jadi insyaallah di Putrajaya juga kita akan lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Pada masa sama, Timbalan Presiden KEADILAN itu juga memberi jaminan hak kepentingan Melayu tidak akan tegugat.

“Kita faham sebelah sana sentiasa mainkan isu perkauman, namun saya memberi jaminan kaum Melayu jangan takut, kita akan jaga semua kaum dan agama,” katanya.

Himpunan malam itu juga turut dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir.

 


Pengarang :