NASIONAL

PAKATAN Perak tolak Mohd Radzi sertai PPBM

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 MEI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi ke dalam parti itu itu apabila mendapati beliau adalah individu bertanggungjawab membawa kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat, pada 2008.

Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Perak, Ahmad Faizal Datuk Azumu berkata, keputusan itu diambil atas prinsip setiap kemasukan ke dalam gabungan berkenaan akan disaring bagi mengelakkan episod duka rakyat berulang.

“Untuk itu, setelah mengambil maklum semua perkara dan asas kukuh, saya dengan ini memaklumkan permohonan beliau untuk menyertai PPBM ditolak tanpa rundingan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Perak yang memberikan kritikan atas isu ini dan kepada pimpinan PAKATAN Perak yang teguh bersama saya untuk memastikan Kerajaan Perak terus mendahulukan rakyat serta memperkukuhkan Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sebelum itu beliau menghadiri majlis kemasukan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, pada 14 Mei 2018, di Hotel Kinta RiverFront.

Menteri Besar Perak itu berkata, kehadirannya pada majlis berkenaan sebagai tanda sokongan kepada PPBM Perak.

Bagaimanapun, beliau hanya mengetahui kehadiran Jamaluddin selepas selesai sidang media itu diadakan.


Pengarang :