SELANGOR

PAKATAN Putrajaya, jamin pulangan ekonomi rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan kelangsungan ekonomi Selangor tidak akan dinafikan, walaupun pentadbiran Putrajaya beralih kuasa.

Beliau berkata, ketetapan itu perlu dilaksanakan selepas mengambil kira sumbangan besar pendapatan ekonomi Selangor di Putrajaya.

“Saya sudah adakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Perbincangan ini dibuat bagi memastikan Kabinet Pakatan yang akan dibentuk ini (memberi jaminan) terhadap hak rakyat Selangor yang telah menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) tertinggi negara.

“Justeru, ia perlu dipulangkan kepada negeri dan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata, ia bagi memastikan hak ekonomi negeri ini terus diangkat ke arah piawaian terbaik dalam mengekalkan rentak kemajuan Selangor, sebagai negeri termaju di Malaysia.

Bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Selangor kekal mendahului negeri-negeri lain sebagai penyumbang terbesar KDNK negara.

Mohamed Azmin sebelum ini memaklumkan, perolehan kejayaan itu didorong hasil sentimen kepercayaan pelaburan dari dalam dan luar negara.

Antaranya, kemasukan pelaburan dari Jepun, yang mensasarkan perolehan kewangan sebanya RM1.2 bilion.

Terdahulu, Mohamed Azmin berucap pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak, di Dataran Greenwood, hari ini.

=EZY=

 


Pengarang :