NASIONAL

PAKATAN sokong calon Bebas di Parlimen Batu

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menyokong calon Bebas di Parlimen Batu, P Prabakaran dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden KEADILAN itu berkata, keputusan terbabit dibuat ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan calon PAKATAN, Tian Chua bagi menyemak semula keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kelayakannya sebagai calon kawasan berkenaan.

“Penyertaan Prabakaran menunjukkan warga Malaysia, terutama rakyat dan pengundi Batu tidak rela memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

“Saya menyeru seluruh rakyat dan pengundi di Parlimen Batu memberi sokongan kepada Prabakaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, BN boleh menggunakan apa sahaja tipu helah untuk kekal berkuasa, namun gelombang kebangkitan rakyat mahu membuat perubahan, pada 9 Mei ini tidak akan dapat dihalang.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengalu-alukan keputusan mengumumkan Prabakaran yang menggunakan simbol kunci sebagai calon PAKATAN untuk kerusi Parlimen Batu.

“Saya mengucapkan selamat datang kepada Prabakaran dan yakin belaiu akan gigih berusaha memastikan kemanangan PAKATAN.

“Undi kunci PAKATAN menang,” katanya merujuk Prabakaran, 22, anak jati kawasan Parlimen itu yang bersekolah dan membesar di Sentul.


Pengarang :