NASIONAL

PAKATAN tekad laksana kebebasan media

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) komited memastikan kebebasan media dan bersuara dalam kalangan rakyat dipraktikkan apabila mendapat mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu adalah elemen penting bagi sebuah negara demokrasi dan termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“PAKATAN akan memastikan media mempunyai kebebasan memeriksa dan menyeimbangkan pentadbiran kita.

“Kita akan menyemak semua undang-undang dan peraturan berkaitan media supaya kebebasan media dijamin,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ke-25 Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, hari ini.

Beliau berkata, ia seharusnya disambut dengan meraikan prinsip asas kebebasan akhbar dan kerajaan wajib menghormatinya serta memperjuangkan hak kebebasan bersuara.

Wan Azizah berkata, menurut Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia oleh Reporters Without Borders (RSF), Malaysia kini berada pada kedudukan ke-145 dan situasi itu tidak menghairankan.

“Hal itu kerana media juga wartawan berada di bawah ancaman berterusan daripada undang-undang kejam Barisan Nasional (BN) merangkumi Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

“Terbaru, kebebasan bersuara dibatasi dengan pengenalan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan muncul negara pertama di dunia mendakwa individu di bawah undang-undang “berita palsu”,” katanya.

Justeru, katanya, perubahan harus dilakukan dengan pertukaran pentadbiran di Putrajaya bagi PAKATAN merealisasikannya untuk kebaikan media dan rakyat.

“PAKATAN komited memastikan Malaysia akan menjadi salah satu daripada sepuluh negara terkemuka di dunia dari segi kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara,” katanya.


Pengarang :