BERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN tekad naikkan gaji minimum, sejuta peluang kerja berkualiti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bertekad untuk meningkatkan gaji minimum bagi semua jenis pekerjaan kepada RM1,500 jika berjaya ke Putrajaya, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, bersempena hari pekerja 2018 seharusnya menjadi tanda ingatan penting peranannya dalam memacu pembangunan namun keadaan ekonomi negara semakin gawat masih ramai rakyat bergelut dengan krisis kos sara hidup dan gaji yang rendah.

“Gaji minimum masih pada tahap tidak realistik sebanyak RM1,000 dan separuh daripada pekerja di Malaysia bergaji di bawah RM1,700.

“Dengan gaji sebegini, sudah tentu mereka tidak dapat menghadapi cabaran GST dan harga barang yang semakin naik.

“Berbeza di Selangor, di mana gaji minimum penjawat awam negeri adalah pada kadar RM1,500, kerana saya percaya jika para pekerja mempunyai gaji lebih tinggi, mereka dapat menyumbang lebih kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan perutusan hari pekerja.

Mohamed Azmin berkata, Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus kerana pekerja menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri jauh ke depan menggunakan strategi pembangunan berinovasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan atau “Knowledge Economy”.

“Ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk anak muda yang bergaji tinggi, sebanyak RM2,500 ke atas.

“Saya menyeru para pekerja supaya menggembleng tenaga, berganding bahu membuat pilihan betul dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Pilihlah parti yang akan membela dan memelihara kebajikan, mengiktiraf hak dan kesatuan pekerja. Hantarlah kita ke Putrajaya, dan kita dapat memartabatkan hak dan kebajikan semua pekerja Malaysia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :