NASIONAL

PAKATAN tekad tingkat taraf hidup rakyat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) bertekad memastikan lambakan pekerja asing akan dihadkan jumlahnya tidak melebihi 500,000 pekerja hanya dalam sektor pembinaan dan perladangan bagi memberi laluan kepada warga tempatan.

Penyandang Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, perkata itu akan dilaksanakan sekiranya PAKATAN menang dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sebagai inisiatif meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Hari ini kita dapat lihat peluang pekerjaan yang semakin menguncup salah satunya berpunca daripada kebanjiran warga asing yang semakin tinggi.

“Lihat sahaja projek Barisan Nasional (BN) seperti ECRL yang dilaporkan mendapat pengecualian cukai GST kepada kontraktor dari China dan ini hanya menutup ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia kerana pekerja yang dibawa dari negara berkenaan.

“Berdasarkan statistik Kementerian Sumber Manusia sehingga 31 Mac tahun lalu, melaporkan 1.86 juta warga kerja asing yang berdaftar dalam pelbagai sektor,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat Parlimen Shah Alam bersama calon DUN Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik, baru-baru ini.

Katanya, sehubungan itu, PAKATAN akan merangka mempelbagaikan sektor pekerjaan dan menghadkan pengambilan pekerja asing jika berjaya mentadbir di Putrajaya.

Pada masa sama, katanya, PAKATAN juga akan memastikan kebajikan pekerja dari aspek melaksanakan gaji minima yang lebih setimpal dengan situasi kehidupan rakyat dengan mengkaji semua tangga gaji di setiap lapisan dan sektor.

“Hal ini ekoran tekanan hidup yang menghimpit warga kerja rakyat malaysia akibat kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya

Selain itu, PAKATAN juga akan mengiktiraf wanita secara keseluruhannya dengan tidak menafikan peranan suri rumah sebagai pekerja dalam sektor informal iaitu rumahtangga dengan pelaksanaan caruman KWSP.

Ia bagi memastikan jaminan kewangan dan pembelaan kepada ibu-ibu berkhidmat untuk keluarga mereka.


Pengarang :