NASIONAL

PAKATAN yakin menang bergaya di Pandan

OLEH NADIAH ZAMLUS

CHERAS, 4 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) yakin akan menang bergaya di Parlimen Pandan, demikian menurut calon P100 Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, PAKATAN hanya perlu meneruskan kecemerlangan sedia ada, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

“Saya yakin PAKATAN akan menang di Pandan tetapi kita perlu ingat, kemenangan bukan sahaja di sini, kita perlu tawan semua tempat di seluruh negara dan disebabkan itulah saya berusaha keras berkempen di seluruh negara.

“Jika kita hanya berjaya tawan Pandan, kita tidak akan dapat membentuk kerajaan di Putrajaya, oleh itu marilah bersama kita menangkan PAKATAN di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Program Sarapan Pagi bersama penduduk Kampung Cheras Baru, di sini.

Pada PRU13, PAKATAN memenangi kerusi Pandan dengan majoriti 26,729 undi, sementara kerusi N22 Teratai turut mendapat majoriti tinggi iaitu 13,646 dan kerusi N21 Pandan Indah pula menang dengan majoriti 3,731.

Pada masa sama, Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN berkata, beliau berharap tiada perpecahan undi berlaku di Pandan, kali ini.

“Jika ada dakwaan jahat mengatakan PAKATAN atau KEADILAN meminggirkan orang Melayu dan meletakkan pemimpin Cina sahaja, cuba lihat di Pulau Pinang.

“Dahulu bekas Ketua Menteri, Koh Tsu Koon itu Jawa atau Melayu? Dia Cina juga. Lim Guan Eng, Ketua Menteri sekarang juga Cina, tiada isu perkauman di sini.

“Yang memecahkan hubungan perkauman kita ialah UMNO, bukan KEADILAN atau PAKATAN,” katanya.


Pengarang :