NASIONAL

Pasangan warga emas tolak GST, hadir buang undi di Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 9 MEI : Pasangan suami isteri, Rosli Said, 67 dan Siti Raminah, 70 berharap dasar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak diteruskan Kerajaan Persekutuan baru, selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

Menurut pasangan itu, pelaksanaan cukai rakus itu tidak bersifat mesra rakyat dan wajar dihapuskan Kerajaan Pemerintah.

“Kami orang kampung, tiada sumber pendapatan yang besar. Kalau GST diteruskan, harga barang semakin tinggi dan menyusahkan kita.

“Kalau orang kaya dan tinggal di bandar itu tak apalah. Mereka ada gaji tinggi. Kalau rakyat di kampung dan luar bandar?” kata Siti Raminah kepada SelangorKini.

Mengakui perkara sama, Rosli Said berharap pentadbiran Kerajaan baru lebih fokus terhadap aspek kebajikan rakyat Malaysia.

Pasangan warga emas itu hadir membuang undi di Pusat Pengundian Sungai Kertas, Parlimen Gombak, pagi ini.

GST mulak diperkenalkan Kerajaan Persekutuan pada 1 April 2015 lalu.

Kerajaan Umno Barisan Nasional mendakwa kononnya kutipan GST sebanyak RM41 bilion setahun yang dikutip membolehkan kerajaan menampung banyak perbelanjaan yang diperlukan untuk kepentingan rakyat.

Bagaimanapun pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak pelaksanaan dasar berkenaan dengan mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak memberi kesan kepada pengguna.

=EZY=


Pengarang :