NASIONAL

Pegawai kanan lapor SPRM babit Najib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI: Datuk Abdul Razak Idris hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa dakwaan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan SPRM itu mendakwa, laporan terbabit berkaitan kes Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Saya diminta oleh bos saya membuat laporan segera terhadap Datuk Seri Najib, isteri, anak dan proksi mereka sebelum mereka melarikan diri.

“Jadi, itu antara sebab saya buat laporan hari ini,” katanya menerusi siaran langsung Facebook sebuah portal, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, laporan itu turut menggesa SPRM menyiasat Najib dan rakanya yang disyaki menggunakan kuasa untuk menghalang siasatan kes berkenaan.

Beliau turut menuntut bekas Perdana Menteri itu mengisytihar hartanya.

“Mereka juga disyaki memiliki harta yang tidak dapat diperjelaskan (unexplained properties) dengan memuaskan.

“Harta ini dibandingkan dengan emolumen yang sah, bila ada perbezaan itu, harta berlebihan yang disebut unexplained properties. Jadi ia perlu di perjelaskan oleh Najib.

“Jika dia tak boleh jelaskan, ia akan menjadi satu kesalahan dan hukuman 20 tahun penjara serta denda lima kali ganda nilai harta yang tak boleh diperjelaskan,” katanya.

Dua laporan yang dibuat itu di bawah Seksyen 24 Akta SPRM 2009, kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan dan Seksyen 36, dihukum di bawah Sek 36 (3) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti bekas bosnya itu.


Pengarang :