NASIONAL

Peguam Negara era BN turut boleh didakwa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 MEI: Peguam Negara era kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh didakwa sekiranya didapati tidak mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika didapati bersalah berhubung isu 1MDB, kata Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau mengulas susulan kenyataan Peguam Negara mengenai Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes pemindahan RM42 juta daripada anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu SRC International.

Namun, Mohamed Hanipa tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai nasib yang bakal diterima Peguam Negara itu dan hanya menyerahkan ia kepada Peguam Negara baharu untuk mengambil tindakan.

“Jika diandaikan Peguam Negara yang baharu nanti memutuskan akan mendakwa bekas Perdana Menteri BN di mahkamah bagi kes pemindahan RM42 juta tersebut, saya rasa berkemungkinan besar Peguam Negara itu (era BN) juga berdepan risiko yang besar untuk didakwa dengan pertuduhan jenayah,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Hanipa berkata, di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, seorang Peguam Negara ada budi bicara mendakwa atau tidak seseorang atas sesuatu kesalahan jenayah.

“Namun, seperti titah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam kes Sri Lempah Enteprise tidak wujudnya budi bicara mutlak kerana ‘absolute discretion is a contradiction in terms’.

“Jika budi bicara itu dilihat secara sengaja disalahgunakan bagi melindungi seorang penjenayah yang jelas melakukan jenayah, saya tidak fikir budi bicara tersebut boleh melindungi hatta seorang Peguam Negara,” katanya.

Terdahulu, Peguam Negara lantikan BN pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang bukti penyalahgunaan wang 1MDB daripada mana-mana penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan pelbagai kuasa.

Katanya, Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) mengambil perhatian mengenai tindakan undang-undang sivil terbaru oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

=EZY=


Pengarang :