SELANGOR

Pejuang Umno pegang berus gigi bukan keris

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 3 MEI: “Pejuang Melayu ketika zaman dahulu, cabut keris. Tetapi pejuang Melayu yang diasaskan Umno kini pegang berus gigi,” sindir Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan pimpinan UMNO itu merupakan politik lapuk dan tidak relevan masa kini.

Katanya, berbeza dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang membawa politik baru dan mengangkat rakyat tanpa mengira kaum.

“Dulu belajar sejarah, Malaysia mempunyai 14 negeri. Tetapi sekarang sudah jadi dua negeri sahaja iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

“Setiap malam kena hentam. Selangor tidak ada air, rakyat tak mandi sebulan. Bila tak mandi datang pejuang Umno, pakai tuala dan bawa berus gigi untuk mandi di pejabat saya.

“Gila. Mat Sabu pun tak mandi di pejabat saya. Saya nak bagi ke? Itu politik lama. Kami semua sudah tidak bawa politik seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Terdahulu, Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan memakai tuala sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berkaitan isu gangguan bekalan air.

=EZY=


Pengarang :