NASIONAL

Pelantikan Azmin Menteri Hal Ehwal Ekonomi penghormatan buat Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah penghormatan kepada rakyat Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pelantikan Mohamed Azmin merupakan pilihan tepat berikutan beliau mempunyai rekod menerajui Kerajaan Negeri dengan cemerlang.

“Ini penghormatan buat negeri tetapi pada masa sama satu kehilangan buat rakyat Selangor.

“Saya yakin beliau akan menggunakan pengalaman dan kepakaran ada padanya untuk kepentingan rakyat keseluruhan,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi pula berkata, Mohamed Azmin berjaya menterjemahkan ucapannya menjadi kenyataan.

“Selain rekod yang dibuktikan melalui pencapaian di Selangor, dalam ucapannya beliau selalu berkata meminta penjawat awam menunggu beliau di Putrajaya apabila hari ini ianya dah menjadi kenyataan.

“Saya yakin rakyat akan menikmati pertumbuhan ekonomi lebih baik di bawah kementerian beliau seperti mana dinikmati rakyat Selangor sebelum ini,” katanya.

Daroyah berkata, sebelum ini Mohamed Azmin berjaya membawa pelaburan berbilion ringgit ke Selangor melalui lawatannya ke negara luar seperti Jepun dan beberapa negara lain.

Sementara itu, ADN Sekinchan, Ng Suee Lim menyifatkan pelantikan Mohamed Azmin menjadikan slogan Selangor Masa Hadapan Malaysia yang digunakan Pakatan Harapan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai kenyataan.

“Berdasarkan trek rekod perkhidmatan beliau pada penggal lepas menjadikan Selangor negeri contoh dan ini menjadikan slogan Selangor masa hadapan Malaysia sebagai kenyataan.

“Saya yakin beliau dapat membantu barisan kepimpinan di peringkat Putrajaya dengan berkesan untuk memacu ekonomi negara keseluruhannya demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :