BERITA UTAMASELANGOR

Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor baharu 19 Jun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MEI: Pelantikan Dato’ Menteri Besar baharu bagi menggantikan Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali akan diadakan pada 19 Jun ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata, perkara itu telah diperkenankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk diadakan selepas Aidilfitri ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk diadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor yang baharu selepas Aidilfitri.

“Ia akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada Selasa 19 Jun 2018 bersamaan 5 Syawal 1439H,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Mohamed Azmin akan turut melepaskan jawatan sama berkuatkuasa pada tarikh sama.

Sultan Selangor berkenan melantik Dato’ Menteri Besar yang baharu ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambilalih Putrajaya dan Mohamed Azmin dliantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, 21 Mei lalu.

=EZY=


Pengarang :