NASIONAL

Pelantikan Dr Wan Azizah sebagai TPM, angkat martabat wanita

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MEI: Pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah satu penghargaan dan mengangkat martabat golongan wanita ke tahap tertinggi di dalam masyarakat di negara ini.

Demikian kata Naib Presiden HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Nor Azura Kamarudin Sohami dalam perutusan tahniah kepada Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) itu di atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, selaku pemimpin wanita pertama dilantik ke jawatan itu, ia bakal merubah landskap politik Malaysia yang selama ini jawatan tertinggi pucuk kepimpinan negara hanya diisi kaum Adam.

“HELWA ABIM yakin mandat dan kepercayaan diberikan kepada Dr Wan Azizah akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam memperjuangkan hak dan peranan wanita tanpa mengira keturunan, bangsa, agama, mahupun darjat dan warna kulit, selain mengangkat golongan wanita ke tahap tertinggi di dalam masyarakat.

“Kita akan terus menyokong kepimpinan Dr Wan Azizah dalam usaha menegakkan kebenaran juga keadilan dan semoga Allah mengurniakan kesihatan berpanjangan serta memberi kekuatan dan hikmah dalam memimpin Malaysia baharu yang kita kasihi,” katanya.

Selain itu, Dr Wan Azizah yang mengangkat sumpah jawatan bersama 12 menteri lain di hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, 21 Mei lalu, turut dipertanggungjawabkan selaku Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Berdasarkan manifesto PAKATAN, beliau berkata, pihaknya positif terhadap penubuhan Institut Latihan Politik dan Kepimpinan Wanita Malaysia bagi jaminan gaji sama rata buat wanita berkerjaya, penyediaan skim kredit mikro untuk usahawan wanita dan insentif penyediaan kemudahan penjagaan anak.

Katanya, pendekatan itu akan mampu melahirkan ramai lagi golongan profesional seterusnya memenuhi sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar negara.

“Golongan wanita memilih untuk tidak bekerja juga dijamin kewangan mereka melalui skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Semoga melalui kedudukan disandang Dr Wan Azizah, pemerkasaan undang-undang dan institusi wanita serta keluarga diharap mampu mengurangkan kadar jenayah ke atas wanita juga menjamin keselamatan mereka,” katanya.


Pengarang :