NASIONAL

Pelbagai cerita mimpi berkenaan TGNA

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz membalas cerita mimpi dari pemimpin PAS yang bermimpikan ayahnya, Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya mempunyai sebelah kaki.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Chempaka itu dalam nada berseloroh berkata, kemungkinan sekarang semua sedang dalam musim mimpi.

Katanya, beliau juga menerima cerita daripada seseorang yang bermimpi ayahandanya berpakaian ringkas mengenakan baju-T dengan belakangnya tertera wajah Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya nak cerita ringkas berkenaan seseorang yang kata beliau juga bermimpi tok guru. Dah musim mimpi agaknya.

“Individu itu berkata beliau berjumpa dengan tok guru tengok dia relaks berjalan dengan memakai baju-T.

“Cuma dibelakang baju-T berkenaan ada gambar Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya sambil ketawa ketika menyertai majlis minum petang di DUN Kota Anggerik, Seksyen 8, semalam.

Nik Omar yang hadir untuk berkempen bagi calon PAKATAN Selangor tidak menjelaskan lebih lanjut sama ada cerita itu hanya gurauan atau sebaliknya.

Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mentafsir mimpi Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertemu Nik Aziz mempunyai sebelah kaki itu sebagai gambaran ada kaitan Nik Omar, 53, meninggalkan PAS untuk bersama PAKATAN.

Cerita mimpi itu turut mengundang reaksi bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengakui beliau juga termimpikan bekas menteri besar Kelantan itu yang menurutnya, kehilangan kedua belah kakinya.


Pengarang :