NASIONAL

Anwar bebas, ABIM ucap tahniah

SHAH ALAM, 16 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkannya sebagai coretan sejarah amat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, pembebasan itu satu permulaan kepada langkah reformasi lebih besar yang akan membawa manfaat besar kepada negara.

“ABIM merafak sembah menjunjung setinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V atas perkenan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tahanan.

“Perkenan itu menggambarkan YDPA amat memahami aspirasi dan kehendak rakyat Malaysia yang sekian lama berjuang demi hak asasi serta kebebasan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, ABIM turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengusahakan pembebasan bekas ketua pembangkang itu.

“Semoga dengan pembebasan ini dapat membantu kepimpinan Perdana Menteri untuk membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang dan kembali disegani,” katanya.

 


Pengarang :