NASIONAL

Pembubaran sementara PPBM dibatalkan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MEI: Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini boleh kembali aktif apabila hari ini Pendaftar Pertubuhan membatalkan notis pembubarannya, berkuat kuasa semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai selepas pertimbangan ke atas maklumat yang dikemukakan pihak PPBM diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Pembatalan notis pembubaran sementara PPBM bertarikh 5 April 2018 di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 itu selaras dengan Seksyen 14(6) akta yang sama.

“Di bawah Seksyen 14(6), Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) apabila maklumat yang diminta itu diberikan,” katanya.

Sehubungan itu, Alwi berkata, permohonan pendaftaran Pakatan Harapan (PAKATAN) juga diberikan kelulusan selaras dengan Seksyen 7 akta yang sama, semalam.

“Oleh demikian, PPBM dan PAKATAN boleh menjalankan aktivitinya selaras dengan objektif juga perlembagaan berdaftarnya serta menjalankan setiap urusan mengikut kehendak Akta 335,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, RoS pada 5 April lalu mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan yang memperuntukkan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen diperlukan RoS.

Pada masa sama, PAKATAN dalam laman Facebook memuat naik gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerima Sijil Pendaftaran Pakatan Harapan daripada Alwi.

Penerimaan sijil itu turut disaksikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri; Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan).


Pengarang :