SELANGOR

Pemimpin BN turut nikmati IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diasaskan Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) bukan sahaja dinikmati rakyat malah pemimpin Barisan Nasional (BN).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebagai contoh pemberian air percuma 20 meter padu, bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen, setiap bulan itu turut dinikmati Mantan Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo.

“Air percuma, Umno pun dapat. Khir Toyo, Jamal (Datuk Seri Jamal Yunos) pun dapat. Kita tanggung RM128 juta untuk program ini, tidak mengapa untuk rakyat.

“Bas percuma, kita pergi ke Pekan. Bas ada pintu, tapi tingkap tidak ada. Kadang pemandu ada tapi streng tidak ada. Penghawa dingin? lagi tidak ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata lebih 100 buah bas turut disediakan di Selangor menerusi pelaksanaan bas percuma Bas Smart Selangor.

Malah, pelaksanaan itu mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk Tanjung Karang.

“Begitu juga mahasiswa, naik sebab ada kemudahan wifi. Mudah untuk buat tugasan. Bas percuma ini tidak ada di mana-mana negeri, sebab itu Selangor masa depan Malaysia,” katanya.


Pengarang :