SELANGOR

Pendekatan berbeza PAKATAN realisasi 42 IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil pendekatan berbeza dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif tanpa mengira kaum.

Calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau berkata, rakyat dapat menilai tindakan itu di Selangor apabila sebanyak 42 Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) direalisasikan.

Katanya, walaupun gabungan PAKATAN itu berlainan kaum dan agama, namun IPR dapat diberikan hak sama rata kepada semua untuk dinikmati.

“Tidak seperti Barisan Nasional (BN), 60 tahun memerintah, tetapi ramai rakyat beratur mengambil beras.

“Itu bermakna mereka gagal. Gabungan mereka gagal. Lihat Selangor, kita wujudkan pelbagai program IPR untuk semua kaum menerima manfaat itu.

“Pendekatan kita jauh berbeza dengan mereka, kita mengembalikan wang rakyat, tetapi mereka mengutip wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana di Alam Megah, di sini, malam tadi.

Ganabatirau menyifatkan tindakan rakyat Selangor menghukum BN pada 2008 merupakan tindakan tepat.

Katanya, hal itu kerana sehingga kini, Kerajaan Negeri di bawah PAKATAN menjaga wang rakyat dengan amanah dan telus berbanding kerajaan sebelum ini.

“Jika dulu mereka meninggalkan kepada kita hutang. Sekarang apabila kita jaga baik-baik, tetapi rizab kita saban tahun meningkat.

“Apakah pendapatan Kerajaan Negeri? Hanya cukai tanah dan taksiran..tapi bagaimana meningkat? Kerana kita laksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :