NASIONALPENDIDIKAN

Pengerusi MARA enggan ulas kenyataan Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Awang Adek Hussin, enggan mengulas lanjut kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jaminan institusi berkenaan tidak tergugat di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Awang Adek ketika dihubungi SelangorKini bagaimanapun hanya memberitahu, beliau akan membincangkan perkara terbabit sebelum memberi kenyataan.

“Isu itu? Nanti kami akan bincangkan, jangan risau, kami akan bincangkan,” katanya yang kedengaran tidak selesa ketika ditanya perkara itu.

Beliau diminta mengulas selepas Anwar memberitahu kepentingan MARA dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan terus dipelihara.

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata, langkah itu selaras dengan peruntukan, dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, rakyat tidak boleh meneruskan sikap pemimpin kerajaan terdahulu yang prejudis terhadap parti politik bukan Melayu.

Katanya, sedangkan golongan itu tidak mengambil kisah terhadap pemimpin Melayu merompak khazanah negara berbilion ringgit.

“Apa yang kamu takut sangat dengan DAP? Marah DAP tetapi Melayu yang samun berbilion ringgit, kamu tak marah,” katanya.


Pengarang :