NASIONAL

Pengundi muda teruja kali pertama mengundi PRU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Pengundi muda di Parlimen Kota Raja (P111) menzahirkan rasa teruja apabila kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Khairul Amirin Mohd Kamaruzaman, 22 berkata, masa depan negara terletak pada anak muda sepertinya.

“Saya tidak mendengar apa orang cakap, saya menilai parti berdasarkan manifesto dan keupayaan demi masa depan negara.

“Jika kami tidak mengundi, kita tidak boleh salahkan sesiapa kerana walaupun satu undi tapi ia penuh bermakna,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi, Sakina Mohd Zohdi, 27, pula, beliau turun mengundi kerana melihat perkembangan negara yang ditekankan dengan pelbagai kos sara hidup.

“Pilihan ini tepat demi mengubah masa depan negara. Pengalaman kerja dan tekanan ekonomi membuatkan saya turun mengundi.

“Sangat teruja. Gementar pun ada. Tapi saya bersyukur kerana ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azrul Azmi Mohd Ekson, 26, berkata pengundi muda khususnya yang mengundi buat pertama kali mempunyai peranan besar dalam PRU kali ini.

“Saya baru mendaftar mengundi beberapa tahun lalu kerana saya fikir, anak muda penentu masa depan negara,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :