SELANGOR

Pengundi: Saya tidak pernah beratur dan menunggu selama ini

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MEI: Lebih dua jam lamanya menunggu tiba giliran mengundi adalah bukti Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini mendapat sambutan lebih hangat rakyat.

Pengusaha Kantin, Normadiah Mat Amin ,56, berkata, beliau telah mengundi bagi Parlimen Shah Alam dan Dun Batu Tiga sejak sekian lama walau kini telah berpindah ke Pelabuhan Klang.

“Walau saya telah berpindah pada 2000 namun saya tidak pernah tukar alamat rumah jadi setiap kali PRU saya dan keluarga akan datang mengundi di sini.

“Bagaimanapun kali ini lebih luar biasa berbanding PRU sebelumnya sebab saya tidak pernah beratur dan menunggu selama ini.

“Jelas kita dapat lihat betapa ramai rakyat kini semangat turun untuk membuang undi. Walaupun saya terpaksa beratur lebih dua jam namun itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan muda, Mohd Redwan Alias,34, berkata, beliau lega dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia membuang undi memilih pemimpin tang dirasakan berwibawa.

“Tahun ini berbezanya kita ada tiga penjuru iaitu PAS, PKR dan BN.

“Bagaimanpun saya ada pilihan saya sendiri dan saya berharap sangat pilihan saya ini bakal menang PRU 14 sebab kita nak pastikan negara kita aman, demokrasi terjamin dan segala kos kehidupan rakyat terutamanya dapat dibantu,” katany kepada Selangor Kini di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seksyen 8, di sini hari ini.

Pada masa masa melihat keadaan cuaca panas sejak awal pagi tadi tidak menghalang orang ramai untuk terus keluar mengundi.

Orang ramai dilihat mula berkumpul di hadapan Sekolah Kebangsaan Seksyen 18 seawal jam 7.30 pagi tadi.

Sehingga setakat jam 2.30 petang, Selangor Kini dimaklumkan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa lebih 2,000 pengundi telah hadir untuk mengundi.

Rata-rata pengundi datang bersama keluarga malahan ada sebahagian dalam keadaan uzur, berkerusi roda namun dilihat begitu bersemangat untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain itu, sebanyak lima saluran mengundi disediakan pihak SPR dimana saluran satu disedikan khusus untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas manakala saluran dua dan tiga keutamaan kepada peringkat pertengahan usia dan saluran empat serta lima kepada pengundi biasa.

Walaupun terpaksa menunggu lebih sejam namun keadaan suasana dalam keadaan tenang dan proses pengundian berjalan lancar.

 

 


Pengarang :