GLOBAL

Penunjuk perasaan lumpuhkan ibu kota Armenia

YEREVAN 2 MEI: Penunjuk perasaan Armenia menyekat beberapa laluan ke ibu kota dan ke lapangan terbang hari ini selepas pemimpin pembangkang, Nikol Pashinyan, yang disekat Parlimen daripada menjadi Perdana Menteri, mengumumkan kempen rusuhan awam di seluruh negara.

Bantahan beberapa hari di negara kecil bekas Soviet itu mencetuskan pertelingkahan antara penyokong Pashinyan, menggerakkan ribuan orang berarak di jalanan dan golongan pemerintah elit yang masih mahu berkuasa dan mengawal sistem keselamatan.

Parti Republikan memerintah menolak cubaan Pashinyan untuk mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri semalam.

“Kami akan terus berada di sini,” kata David, 19, seorang daripada penunjuk perasaan mengepung laluan ke lapangan terbang kepada Reuters. Penunjuk perasaan juga mengepung beberapa persimpangan di tengah bandar dan sekitar agensi negeri.

Ratusan pelajar berarak di ibu kota ini, mengibarkan bendera dan berteriak “Nikol- Perdana Menteri!”, sambil pemandu membunyikan hon tanda sokongan.

“Kami akan melumpuhkan seluruh bandar dan seluruh negara,” kata Sargis Babayan, 22, pelajar memakai baju-t dengan wajah Pashinyan, 42.

Polis cuba memujuk penunjuk perasaan membuka laluan, namun tidak menggunakan kekerasan. Pemimpin veteran Serzh Sarksyan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri minggu lalu.

Pashinyan, bekas wartawan yang dipenjara dua tahun kerana mencetuskan rusuhan selepas pilihan raya presiden 2008, dikemukakan ke Parlimen sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri.

Namun Parti Republikan, sekutu kepada Sarksyan, memiliki majoriti dalam Parlimen dan selepas beberapa jam debat hangat menggantung sokongan untuk Pashinyan, menyebabkan beliau kekurangan sokongan diperlukan.

Satu lagi cubaan memilih Perdana Menteri baharu dijangka dalam tempoh seminggu. Jika Parlimen gagal memilih Perdana Menteri baharu dengan sokongan majoriti sebanyak dua kali, pilihan raya perlu diadakan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :