BERITA UTAMASELANGOR

Perangsang Selangor teroka pasaran baharu, tingkat pelaburan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MEI: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) akan berusaha meneroka pasaran baharu dan meningkatkan pelaburan bagi pengukuhan perniagaan.

Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, bersesuaian dengan matlamat ditetapkan, pihaknya akan meneruskan usaha dijalankan tahun sebelumnya bagi meningkatkan penerokaan dalam pasaran sedia ada.

“Perniagaan utama adalah pelaburan dan kita sentiasa mencari pelaburan baharu, justeru tahun ini pasukan kita fokus meningkatkan nilai pelaburannya.

“Kita juga mencari pasaran dalam bidang baharu, antaranya pertumbuhan organik dengan melihat kepada keperluannya termasuk dari segi pengurusan, kewangan dan pengurusan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke 41 dan Mesyuarat Agung Luarbiasa Perangsang Selangor ,di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perangsang Selangor meningkatkan nilai pelaburannya di dalam beberapa syarikat bersekutu, terutama Perangsang Selangor ACM dan Aqua-Flo Sdn Bhd (Aqua-Flo).

Katanya, kedua syarikat itu kini akan menyumbang perolehan pendapatan secara terus kepada Perangsang Selangor ekoran pegangan ekuitinya kini melebih 51 peratus, berbanding sebelumnya.

“Pada tahun ini, kita fokus terhadap penambahan pelaburan termasuk menerusi CPI (Pulau Pinang) Sdn Bhd (CPI) dengan hasil perolehannya akan dapat dinikmati akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Perangsang Selangor juga akan meningkatkan kepelbagaian hasil dengan jangkauan global kian meningkat yang diperoleh CPI dan perniagaan berkembang di Century Bond Bhd (CBB).

Perangsang Selangor dengan pegangan ekuiti 100 peratus dalam CPI, syarikat peneraju Perkhidmatan Pengilangan Elektronik (EMS) terkemuka dengan pelanggan global merentasi industri automotif, penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan industri perindustrian serta pengguna.

50 peratus daripada pendapatan tahunan CPI diperoleh daripada eksport, manakala jualan tempatan adalah kepada anak syarikat multinasional berpengkalan di Malaysia.

Selain daripada CPI, CBB juga sebahagian daripada segmen perkilangan Perangsang Selangor dijangka mencatatkan pendapatan lebih tinggi, pada Tahun Kewangan 2018 memandangkan Perangsang Selangor sentiasa berusaha memperluaskan langkah CBB dalam sektor bukan simen, di Malaysia.

“Usahasama ditandatangani antara CBB dan Honda Printing Holdings Limited (Honda Printing) berpengkalan di China untuk menghasilkan kotak kadbod.

“Ia membolehkan CBB memperluaskan rangkaian ke dalam industri kotak kadbod menerusi penghasilan kotak dengan cetakan lebih halus dan cerah,” katanya.


Pengarang :