Selangorkini
NASIONAL

Permansuhan GST 1 Jun tidak sahih

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Kementerian Kewangan Malaysia menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kononnya dimansuhkan, pada 1 Jun ini.

Kementerian Kewangan Malaysia menerusi Facebook rasmi menyatakan siaran media tersebut adalah palsu dan ada pihak yang menyalahgunakan nama Kementerian itu.

Kenyataan palsu itu menyebut GST dimansuhkan berikutan kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei lalu.

Menerusi kenyataan itu, beberapa perkara turut ditekankan antaranya semua perniagaan dikehendaki mengemaskini sistem POS dan Perakaunan masing-masing, dan tidak lagi boleh mengenakan sebarang cukai GST bermula dari tarikh tersebut.

Terdahulu, tersebar luas kenyataan palsu di atas nama Kementerian Kewangan Malaysia menggumumkan pemansuhan GST sebagai hadiah sempena Hari Raya Aidilfitri dari Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Malaysia yang memberikan kepercayaan kepada PAKATAN dalam PRU-14 baru-baru ini.

Laporan tidak bertanggungjawab itu menyebut tiada cukai baharu akan dikenakan sepanjang dua tahun pertama pentadbiran PAKATAN dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya akan diperkenalkan semula pada tahun 2020 setelah satu kajian mendalam dilakukan untuk mengurangkan beban hidup.


Pengarang :