NASIONAL

Persempadanan SPR tukar asal

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Kerajaan akan mengkaji undang-undang berkaitan untuk mengubah kembali persempadanan Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) yang baru kepada asal.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah menggunakan persempadanan baru, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu jelas bertujuan memberi kelebihan kepada kerajaan, pada masa itu.

“Kami akan berusaha kawal rasuah hingga ke paras paling minima dan sedar sukar untuk hapuskan 100 peratus tetapi rasuah memberi kesan buruk kepada proses demokrasi, misalnya pilihan raya sepatutnya bebas dan bersih tetapi apa yang berlaku langsung tidak bersih, rakyat dibeli.

“Kita akan kaji dan lihat untuk tukar kembali kepada sempadan asal serta jika kita mempunyai majoriti dua pertiga kita akan ubah sempadan mengikut kepadatan munasabah,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary, di sini, hari ini.

Katanya, selain SPR, siasatan juga akan dijalankan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara berhubung dakwaan melenyapkan kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tun Mahathir berkata, jika didapati kedua pihak didapati tidak bersikap adil dalam menjalankan tugas, mereka akan dipecat sebelum dikenakan tindakan lanjut.

“Jika didapati mereka cenderung memihak kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan sendiri kita akan tukar mereka,” katanya.


Pengarang :