NASIONAL

Pewangi KEADILAN laku keras

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 7 MEI: Pelbagai ragam dilihat sepanjang musim kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini, termasuk jualan pewangi kereta yang menggunakan lambang KEADILAN mendapat sambutan hangat.

Peniaga, Mohd Ikmal Mohd Nasir, 19 berkata, dia mula menjual pewangi kereta yang menggunakan logo KEADILAN itu sejak dua bulan lalu.

“Setiap kali ada ceramah atau kempen di kawasan Ampang, saya akan turun padang dan meletakkan barang jualan di bonet kereta sahaja.

“Tidak sangka pewangi kereta edisi khas KEADILAN itu mendapat sambutan hangat, ini jelas menunjukkan memang ramai penyokong PAKATAN berada di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, dia menjual pewangi yang menggunakan lambang KEADILAN kerana percaya dengan parti itu yang bakal membawa perubahan kepada negara.

“Saya adalah anak muda dan dianggap sebagai pewaris negara tetapi apabila melihat Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara, saya takut, kos hidup makin tinggi ditambah dengan beban Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Adanya GST menyebabkan peniaga seperti saya terpaksa menaikkan harga barang, sekali gus berisiko kehilangan pelanggan, saya berharap Pakatan Harapan (PAKATAN) menawan Putrajaya sekali gus menghapuskan GST,” katanya.


Pengarang :