PENDIDIKANSELANGOR

Pilih UNISEL, ada pengajian percuma!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BESTARI JAYA, 27 MEI: Tawaran mengikuti pengajian percuma di bawah Skim Dermasiswa mendorong Nur Aisyah Atiqah Muhammad Khairie, 19 memilih Universiti Selangor (UNISEL) sebagai Institusi Pengajian Tinggi pilihannya.

Bagi Aisyah, Universiti penuh milik Kerajaan Negeri itu tampil dengan pelaksanaan dasar berkesan yang dapat membantu pelajar-pelajar baru menyesuaikan diri dengan faktor persekitaran pembelajaran baru.

“Saya menerima tawaran mengikuti pengajian percuma di UNISEL. Tanpa sebarang pinjaman dan faedah, inisiatif ini banyak membantu pelajar.

“Selain itu, saya juga tertarik dengan UNISEL kerana persekitarannnya yang cantik dan bersih.

“Ia sangat selesa untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran sepanjang masa,” katanya kepada SelangorKini.

Nur Aisyah merupakan antara 350 pelajar asasi UNISEL baru yang mula mendaftar bagi sesi pengajian akademik Jun, 2018.

Bagi V. Bharati 18, peluang pengajian pecuma yang diberikan UNISEL akan dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai jaminan kecermelangan pendidikannya.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada UNISEL yang menyediakan bantuan pendidikan percuma dan memberikan insentif RM500 kepada saya.

“Ini memang tidak pernah dilakukan mana-mana Universiti awam lain dan tentunya ia akan mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ng Xin Wei, 18 berkata, UNISEL disifatkan sebagai sebuah pusat pengajian berdaya saing dengan kemudahan fasiliti terbaik kepada mahasiswanya.

“Ini pengalaman pertama saya berada dalam dunia Universiti. Apabila saya menjejakkan kaki ke kampus ini, saya dapat merasakan sebuah pengalaman baru apabila melihat terdapat banyak fasiliti dan kemudahan yang disediakan.

“Saya tentunya teruja untuk belajar dan merasai pengalaman terbaik ini,” katanya.

 


Pengarang :