SELANGOR

PKNS agih zakat RM1.4 juta laksana CSR

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mengagihkan semula wang zakat berjumlah RM1.4 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk asnaf fakir dan miskin, mualaf, fisabilillah serta gharimin, pada tahun ini.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, perbadanan itu turut membentuk Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat yang dianggotai pegawai dari Lembaga Zakat Selangor untuk memastikan pengagihan secara teratur mengikut lunas hukum syarak ditetapkan.

“Diharapkan semua pihak dapat terus memberi sokongan dan doa buat kemajuan PKNS supaya kami dapat meneruskan pelaksanaan program CSR seumpama ini hasil keuntungan tahunan yang dijana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pengkaderan Mualaf Training The Trainer Course TTC 201, di Hotel Grand Blue Wave, di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu selaras misi PKNS memperjuangkan kemajuan untuk rakyat bagi membangunkan komuniti dalam kalangan warga Selangor.

Siti Zubaidah berkata, salah satu inisiatif PKNS adalah menerusi pelaksanaan program CSR yang mengagihkan semula wang zakat PKNS, selain berkongsi keuntungan bersama masyarakat.

Terdahulu, Siti Zubaidah menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk pembangunan mualaf.


Pengarang :