SUKANKINI

PKNS kutip mata penuh benam KL

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: PKNS FC berjaya menumpaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 3-2, sekali gus melunaskan ‘hutang’, pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Anak buah Datuk K Rajagobal yang tumbang 2-1 di tangan Kuala Lumpur di Cheras sebelum ini menunjukkan aksi lebih kemas, membantu mereka membalas dendam dan mengutip mata penuh untuk merapatkan jurang dengan kelompok atasan liga.

Kuala Lumpur yang sebelum ini digelar ‘pembunuh gergasi’ apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah terpaksa akur dengan kekalahan yang menyaksikan mereka kekal menghuni kelompok pertengahan liga.

Pada aksi terbabit, Kuala Lumpur bermula garang mendahului seawal minit keempat apabila pertahanannya, Bobirjon Akbarov menyambar sepakan percuma Paulo Josue untuk gol pembukaan perlawanan.

PKNS FC kembali dalam permainan apabila berjaya mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti, pada minit ketujuh selepas Faris Ramli dijatuhkan dan Safee Sali tidak berdepan masalah menyempurnakannya.

Kegagalan pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya menyempurnakan peluang terhidang untuk meletakkan Kuala Lumpur kembali di hadapan, pada minit ke-36 dilihat mengundang padah apabila sebaliknya, PKNS beroleh gol kedua menerusi gerakan solo Faris Ramli yang disudahkan dengan kemas menewaskan Solehin seminit selepas itu.

Babak kedua bersambung, hasrat Kuala Lumpur untuk bangkit memburu gol penyamaan kian pudar apabila PKNS FC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti, pada minit ke-49 apabila bola terkena tangan Achmad Jufriyanto dan Jonatan Leonel Costa mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk gol ketiga tuan rumah.

Gol lewat permainan dijaringkan Guilherme de Paula, pada minit pertama masa tambahan hanya sekadar gol sagu hati dan PKNS FC berjaya mengekalkan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat.


Pengarang :