SELANGOR

PKNS sumbang RM50,000 perkasa mualaf

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi pembangunan mualaf, di negeri itu menerusi Program Pengkaderan ‘Mualaf Training The Trainer Course (TTC) 201’.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, sumbangan itu antara inisiatif tanggungjawab sosial kroporat (CSR) perbadanan terbabit untuk melatih dan melahirkan generasi pendakwah dalam kalangan mualaf.

Beliau berkata, pihaknya yakin JAIS mampu membantu PKNS menyalurkan sumbangan wang zakat bagi mualaf yang memerlukan bantuan dan sokongan dari segi kewangan, pendidikan mahupun pembangunan insan.

“Saya difahamkan sumbangan disampaikan ini akan digunakan sepenuhnya untuk program TTC 201 yang julung kali diadakan bagi membantu pengukuhan institusi mualaf dengan melahirkan kader atau pelatih bertauliah dan mampu berdakwah, terutama kepada golongan yang masih belum memeluk Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan PKNS dan Perasmian Program Pengkaderan ‘Mualaf Training The Trainer Course 201’, di Hotel Grand Blue Wave, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Siti Zubaidah berkata, program TTC 201 terbahagi kepada dua sesi, iaitu pada 4 hingga 6 Mei dan 29 Jun hingga 1 Julai membabitkan 30 peserta daripada bangsa Cina, India serta beberapa etnik Sabah juga Sarawak yang memeluk Islam.

Katanya, program itu adalah landasan bermanfaat dengan mengumpulkan saudara baru berbilang kaum yang akan dilatih untuk menjadi pendakwah bagi mendekatkan diri dengan sahabat bukan Islam.

“Saya juga berharap sumbangan disampaikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan bersama, sekali gus menyemarakkan semangat kami untuk terus menyumbang kepada masyarakat di Selangor,” katanya.


Pengarang :