SHAH ALAM 07 JANUARI 2018. Pengerusi Parti Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di IDCC . NSTP/ HAFIZ SOHAIMI
NASIONAL

PM: Kabinet dapat dibentuk seawal minggu ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pembentukan Kabinet yang melibatkan 10 orang menteri dapat dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penubuhan Kabinet penuh akan mengambil masa kerana setiap parti perlu berbincang untuk mengemukakan nama dan jawatan yang akan dipegang.

“Kita sudah ada tiga orang yang saya namakan dan kita nak kepada tujuh orang lagi untuk cukupkan 10. Ini akan dibuat secepat mungkin dengan setiap parti memberi tiga nama daripada satu parti dan menyatakan kementerian pilihan mereka.

“Saya harap dalam minggu ni juga kita dapat bentuk kabinet 10 orang. Kabinet itu akan bergerak sebagai kabinet sah dan sementara kita akan memilih lebih banyak menteri-menteri berjumlah semua 25,” katanya.

Minggu lalu, Tun Mahathir mengumumkan empat jawatan utama yang sudah diisi iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.

Sementara, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari BERSATU selaku Menteri Dalam Negeri dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Katanya, Majlis Presiden Pakatan Harapan adalah dianggap majlis tertinggi dan semua keputusan dibuat tidak mengenepikan mana-mana parti.

Menurutnya, semua nama calon dikemukan parti komponen bersama kementerian yang dipilih akan disemak terlebih dahulu dan jika berlaku pertindihan, beliau selaku Perdana Menteri akan membuat keputusan.

Katanya lagi, kabinet pentadbirannya menggunakan konsep ‘majoriti yang memutuskan’ (majoriti rule) kerana menerusi konsensus berkemungkinan keputusan tidak dapat dibuat.

“Kita dalam Kabinet 10 ini tidak akan dapat mengagihkan mengikut peratusan parti masing-masing. Ada parti lebih ramai wakil rakyat, ada parti yang kurang tapi kita tak patuh kepada bahagian.

“Tapi kalau kita dapati parti berkenaan tidak dapat bahagian mereka, tambahan ini akan datang apabila kita penuhi semua jawatan-jawatan 25 dalam Kabinet yang dicadangkan.

“Kita juga mempunyai ruang kalau kalau ada kerjasama daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak, maka mereka akan lantik calon-calon mereka untuk menyertai Kabinet.

“Pada ketika itu jumlah Kabinet mungkin melebihi daripada sekarang tapi hasrat kita ialah tidak lebih 30. Kita akan buat keputusan-keputusan kerajaan dengan Perdana Menteri berpandu kepada keputusan dalam Kabinet,” katanya.


Pengarang :