NASIONAL

Polis rampas barangan peribadi dari kediaman Najib

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 MEI: Polis merampas beberapa barangan peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari kediamannya, malam semalam.

Menurut peguam beliau, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, ia termasuk beg tangan, pakaian serta hadiah milik bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, pencarian dilakukan bawah Akta Penggubahan Wang Haram (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001).

“Tiada dokumen dirampas, juga tiada tangkapan dibuat hari ini,” katanya dipetik Astro Awani.

Pencarian di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta bermula sekitar jam 10.15 malam semalam selepas Najib pulang dari menunaikan solat terawih di Kampung Baru.

15 kenderaan polis merangkumi SUV, trak dan kereta mula bertempat di perkarangan kediaman beliau, yang turut dibanjiri pengamal media dalam dan luar negara, juga ditemani puluhan penduduk sekitar.

Selain itu menurut Harpal, operasi pencarian turut dijalankankan di dua lot kediaman di Menara Pavilion, Kuala Lumpur, pada waktu sama.

Katanya lagi, anak guamnya memberikan kerjasama penuh terhadap polis sepanjang operasi pencarian dijalankan.

“Ia mengambil masa lama kerana ini rumah besar, jadi polis perlu periksa setiap bilik, dan tidak dimaklumkan setakat ini sama ada Najib akan dipanggil untuk disoal siasat atau tidak berhubung kes berkenaan,” katanya.


Pengarang :