SELANGOR

Polis reman Jamal tiga hari

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang ditahan Polis Selangor, semalam bakal direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes di bawah Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960 yang dilaporkan, pada 12 Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat.

“Beliau (Jamal) direman bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan penahanan Jamal, 47, di sebuah hospital swasta di Jalan Memanda, Ampang, sekitar jam 1.15 petang.

Beliau ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Selangor.

Tangkapan itu dibuat susulan satu laporan polis oleh seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kuala Langat.

Difahamkan, pengadu mendakwa melihat beberapa keping gambar menunjukkan Jamal menyelitkan senjata api di pinggangnya di tempat awam.

Dalam laporannya, pengadu meminta polis menyiasat perbuatan Jamal itu dan menarik lesen senjata api sebelum kejadian tidak diingini berlaku.


Pengarang :