NASIONAL

Polis sahkan wang tunai RM114 juta dalam 35 beg

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Polis mengesahkan RM114 juta ditemui dalam 35 daripada 72 beg dipercayai membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dirampas dari Pavilion Residences, di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, jumlah itu melibatkan 26 mata wang yang mengikut kadar pertukaran semasa.

Katanya, wang berkenaan dikira 21 pegawai daripada Bank Negara dan seorang pegawai daripada Bank Islam dengan menggunakan 11 mesin.

“Bagaimanapun baki 37 lain mengandungi barang kemas dan jam tangan akan dipastikan minggu hadapan.

“Polis juga sedang berusaha mendapatkan khidmat pakar untuk menilainya,” katanya pada Sidang Media di Ibu Negara, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 72 beg dan 284 kotak berisi beg tangan mewah dirampas dalam operasi 16 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Amar menggesa semua pihak tidak menyebarkan gambar palsu yang tular di media sosial didakwa memaparkan barangan rampasan daripada Najib.

“Semua ini berita palsu kerana saya sudah mengarahkan anggota polis dan tidak membenarkan mereka membawa telefon bimbit ketika operasi.

“Selain daripada jurugambar rasmi, tiada gambar lain diambil dalam semua serbuan kami,” katanya.

Terdahulu, Umno mendakwa wang tunai terbabit adalah baki dana kempen pilihan raya yang sedang dalam proses untuk dipindahkan kepada kepimpinan baru ekoran peletakan jawatan Najib sebagai presiden.


Pengarang :